“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Monday, May 24, 2010

Di bawah Lampu Minyak Tanah

Tatkala senja berlabuh dan kegelapan mula menyelubungi,
terasa malas benar diri ini untuk bangkit.
Mungkin di luar sana, bintang-bintang mula menari-nari mengintai bulan untuk munculkan diri.
Si kelip-kelip mula mengatur langkah, berterbangan mengikut irama semula jadi cipta Ilahi.

Mencari-cari si kanta berkaca ini suis lampu di dinding.
Terfikir alangkah enaknya jika ia terpasang secara sendiri.
Tahu bila mahu ia diperlu atau tidak.
Ya Allah, manusia apa aku cukup cepat lupa untuk bersyukur...

Ya...
Jika difikir,
bukankah aku pernah membesar di bawah lampu gasolin.
Ya. lampu minyak tanah.
Pernah melihat jerih payah arwah Abah menghidupkan lampu-lampu minyak tanahnya
buat kami adik-beradik di rumah pusaka itu.

Lantas fikiran ini terus hinggap di zaman itu seolah-olah mengirup udara
bersama bau minyak tanah seperti semalam saja yang berlalu.
Zaman itu, lampu gasolin sudah cukup mewah buat kami.
Menerangi kegelapan setiap malam yang kami lalui.
Minyak tanah dan "mentol" kain lampu minyak tanah,
memang tak dapat dipisahkan.
Saling memerlukan antara satu sama lain.

Abah.
Ya arwah abahlah orang yang paling sibuk di saat senja mula menampakkan diri.
Tertibnya sama.
Minyak tanah pasti tersedia.
Mentol kain tentunya perlu baik keadaaannya.
Lantas,
Minyak tanah di isi melalui corong kecil di badan lampu minyak tanah itu.
Kemudian,
Selalunya lampu minyak tanah itu diletak di sisi dinding atau tiang.
Dan seberapa ketika setelah corong pam di tarik tekan berulang kali dengan kudrat Abah,
maka sempurnalah cahaya menerangi.

Begitulah rutin Abah dan lampu-lampu minyak tanahnya.
Buat kami adik-beradik, menerangi hari-hari kami.
Hidup kami di bawah lampu mintak tanah, untuk menerangi malam kami diwaktu makan, belajar dan rehat kami.
Ya, itulah rutin yang tidak pernah gagal untuk Abah laksanakan untuk kami sekeluarga.

Minyak tanah yang di isi, seolah-olah pengisian kasih sayang buat kami semua.
Bak bekalan supaya kami membesar dengan baik.
Mentol kain itu pula bak kata-kata nasihat yang menerangi hari-hari gelap kami.
Seolah-olah kata-kata semangat dan pedoman buat kami mengharungi cabaran kehidupan.
Kudrat Abah untuk menghidupkan lampu minyak tanah itu pula, seolah-olah menggambarkan tiada
jalan mudah untuk sesuatu perkara.
Pastinya usaha itu suatu yang wajib untuk dilaksanakan.

Di bawah lampu minyak tanah
Kasih sayang yang Abah beri buat kami semua
tidak pernah ternilai
kerana ia adalah suatu yang suci dan tulus
mungkin tak pernah terzahir oleh kata-kata...

Di bawah lampu minyak tanah
Kehidupan itu penuh kami syukuri
untuk saat-saat yang indah
sukarnya untuk diucap
walau indah hanya sementara...

Di bawah lampu minyak tanah
kehidupan itu seolah-olah
suatu hadiah buat kami
Yang belum sempat kami buka kotaknya di waktu itu
kerana
ia adalah hadiah buat masa hadapan
istimewa dari Abah buat semua.

Di bawah lampu minyak tanah
suburlah hati-hati kami
sesubur kasih Abah
sejak dulu
kini dan selamanya....


Imiahus Irafas
24 Mei 2010

0 Comments:

Post a Comment

<< Home