“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Monday, June 21, 2010

Dunia Ayah

Sabtu.
Pagi itu pagi yang biasa.
Syukur ke hadrat Ilahi... segala puji-pujian baginya.
Ketika nafas ini masih berterusan, mata ini sempat menyaksikan keredupan hari di bawah lembayung, digarap dengan sendu bayu yang mendingin.

Tidak seperti hari yang lain, pagi ini Ameer bangun agak awal.
Bingkas saja Ameer mengekori aku.
Pagi yang indah ini jangan disia-siakan. Terima kasih untuk sedetik masa membiarkan aku dan Ameer melewati denai ini. Menghirup udara pagi yang sentiasa segar.

Jernih mata Ameer mencerminkan kebahagiaannya.
Jauh di sudut hati, aku berasa terlalu bahagia.
Wajah Ameer yang bersih seakan bercahaya pagi itu seakan menambah keindahan hari ini.
Syukur pada Tuhan untuk saat ini...

Aku biarkan Ameer berlalu melewati lalang-lalang yang melambai.
Melewati rumput-rumput setia tepi denai..
Mendongak ke awan sambil berjalan memegang tanganku.
Jari jemari halusnya kemudian menunjuk langit yang membiru.
Cuba mengejar burung kelicap yang terbang meliar mencari makan pagi...

Kemudian,
Bila mana kelibat seorang pakcik tersenyum dari jauh.
Ameer tahu itu "atuk"nya, jiran sebelah rumah kami.
Senyuman yang mungkin tidak janggal buat Ameer.
Ringan tangan Pakcik melambai
tercegat seketika...
sebelum berlalu dan senyumnya menghilang...

Di saat itu,
Mengapa hati aku tiba-tiba berkata,

Ameer, sungguh malang nasibmu...
Tidak ada insan sebenar yang masih menjadi atukmu...
Melihat kau membesar,
yang bisa bermain, bergurau senda bersama
yang mungkin menjadi tempat kau bermanja....
peluk dan cium yang mungkin kau rindui...

Jauh di sudut hati,
Doa aku pada Tuhan,

Ya Allah panjangkanlah umur ku
Supaya bisa Ameer ku peluk ku cium
biar dia merasakan kasih sayang seorang ayah...
membesar dengan kelimpahan rasa
Dari lelaki bernama ayah...

...Kerana atuk sudah tiada.

Melayanglah fikiran ini untuk sebuah kenangan...
Rindu ini tak pernah terhenti.
Untuk
Abah..
dan
Papa..

Imiahus Irafas
Denai Alam
20 Jun 2010

0 Comments:

Post a Comment

<< Home