“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Wednesday, November 30, 2005

Hari Raya : Tentang Sebuah Kehidupan di Pondok Ini...




Lebih 25 tahun dulu, arwah abah bina rumah ini. Untuk kami, 9 orang adik-beradik.
Di rumah ini, sebahagian dari kami membesar bersama rezeki dari hasil titik peluh keringat arwah abah. Di sini, kami mengenal kedewasaan yang penuh dengan tipu helah, membesar dengan didikan emak yang tulus ikhlas, terus meniti hari-hari, mendirikan rumah tangga, beranak-pinak, bahkan bercucu. Semuanya berakar umbi dari sini.

Dulu rumah ini tidak sehijau ini, tapi sekelilingya amat segar. Hijau dan tenang. Hasil tangan arwah abah, rumah ini dilitupi dengan pokok-pokok subur merimbun. Pokok-pokok yang ada hasilnya. Rambutan, mangga, belimbing, betik, ubi kayu, tebu. Puas kami memamah hasilnya.

Ah..itu semua tinggal kenangan. Bila arwah pergi. Satu-satu hasilnya pergi. Mungkin tiada tangan sejuk yang mewarisi, meneruskan dan memelihara. Mak sudah tua, adik beradik lain sibuk bekerja. Tapi rambutan tetap subur, mangga tetap keluar setiap kali musimnya. Itulah hasil jika berjasa pada tanah.

Rumah ini bagaikan keramat. Rumah ini ada daya penarik yang sukar dimengerti. Ya, rumah ini adalah hati kami. Adik-beradik berkumpul, berkenduri, berhari-raya. Amat nolstalgik dan tersendiri.

Terima kasih Abah. Terima kasih kerana mencetus ikatan kasih sayang di rumah hijau ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home