“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Friday, October 12, 2007

Ramadan telah pergi..

Hakikatnya Ramadan tahun ni adalah Ramadan yang begitu meninggalkan kesan dalam hidup aku.

Pertama kali melalui hari-hari Ramadan tanpa mak. Aku yakin adik-beradik lain juga berperasaan yang sama.

Ramadan...

Selalunya waktu beginilah mak sibuk mengingatkan aku apa-apa yang perlu.

"Kau tak pergi terawih?"

"Zakat fitrah dah bayar?"

"Minggu ni datang buka rumah mak?"

Ya. Soalan-soalan seumpama itu tidak akan lagi kedengaran.

Mak memang selalu ajak aku berterawih semasa waktu Mak masih kuat berjalan.

Tahun berganti tahun, kadangkala Mak pergi terawih, kadang-kadang tak. Alasan mak, tak larat nak ikut Pak Imam. Cepat sangat katanya. Aku faham kerana usia Mak semakin lanjut. Pergerakannya juga sikit perlahan.

Tahun-tahun kebelakangan ini, bila aku tanya Mak tentang terawih, ada sedikit nada kekesalan dalam suaranya.

"Mak sembahyang kat rumah je... tak larat."

Tahun ini, seperti mana tahun-tahun lepas, terawihku tanpa Mak.
Berdetik hati ini.

"Ah..rindunya pada Mak. Jika Mak ada dan masih kuat, sudah tentu boleh bawak Mak naik kereta dan pergi berterawih sama-sama."

Berayakah aku tahun ni.

Pertama kali beraya tanpa Mak.
Sekaligus tahun ke-20 tanpa Abah.

Bak kata Kak Fiza,

"Tahun ni tiada lagi tangan mak untuk kita salam dan cium."

Terkedu aku mendengarnya. Hati aku lantas mendung.

Sememangnya fikiran aku berlegar-legar tentang itu sepanjang bulan Ramadan yang baru pergi.

Sesungguhnya hari raya itu mengajar kita tentang erti kesabaran, keikhlasan.
Sekaligus menyedarkan kita tentang erti kasih sayang, betapa eratnya ikatan kekeluargaan yang tidak boleh dicari ganti. Betapa kesusahan boleh dihadapi jika kita punya hati yang tabah dan semangat yang kental.

Ya,

Raya tahun ini tanpa Mak.

Kita tak tahu untuk raya seterusnya.

Ramadan telah pergi untuk tahun ini.

... Mak juga telah pergi.

InsyaAllah Ramadan akan kembali tahun depan.

... Namun pergi Mak tak kembali.

Al-Fatihah...

Allahyarhamah Jamiah bt Misman
29 Mei 1939 - 8 Julai 2007

0 Comments:

Post a Comment

<< Home