“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Friday, May 16, 2008

"Saat Pegun Di Sisi...."

Hari ibu.

Mungkin hari ibu menjelma saban tahun dan kita terleka akan erti sebenar pengorbanan seorang insan bergelar ibu.

Hari-hari dilalui ibu sepanjang hayatnya melayan kerenah anak-anak sememangnya tidak akan terbalas, apatah lagi dengan hanya sekadar sehari mengingatinya, iaitu di hari ibu...

Ya, sebenarnya aku tidak perlukan hari ibu itu.

Kenangan ibu sememangnya menggamit hati aku sampai bila-bila. Tak kira waktu dan ketika, jiwa ini bisa tersentuh untuk sebuah kisah yang kesekian kalinya terungkai. Ya, "...kanta ini masih berkaca, sedangkan aku telah pun menerimanya dengan Redha, segala kepahitan..."

Ya Allah, sunyinya hari-hari tanpa ibu sejak wajah pucat ibu aku kucup buat terakhir kalinya.

Ya Allah, betapa ibu tidak terdaya menanggung sakit uzurnya. Tapi kami tahu ibu cuba sedaya-upaya melawan. Kami tahu kerana ibu adalah insan yang paling kuat azamnya. Ibu sudah lalui pelbagai jenuh perih hidup membesarkan kami 9 orang anak-anaknya. Tabahnya ibu ketika itu, membuat kami turut merasai apa yang ibu rasa. Kalau boleh biarlah kami yang merasai kesakitan itu, bukan ibu. Tapi Allah maha mengetahui.

Hebatnya kenangan bersama ibu. Sukar untuk aku cari yang pahit bersama ibu. Saat-saat sukar dalam hidup, sentiasa ada ruang untuk ibu memberi nasihat dan ingatan. Ibu mana yang tak sayangkan anaknya.

Teringat saat kecil, ketika arwah Abah berkerja dengan menolong atuk saudara kami di pasar borong. Seminggu sekali atau dua, Ibu akan ke pasar borong, membawa aku bersama. Memang lazimnya Ibu akan membeli apa-apa yang perlu walaupun sebenarnya Abah boleh beli dan bawa pulang ke rumah selepas habis bekerja. Melewati pasar borong yang becak terutama di kawasan pasar basah membuatkan kenangan itu terus kekal di ingatan. Sementara ibu memilih ikan-ikan yang sedar dan tawar menawar, aku terpaku dengan bermacam jenis ikan, ada yang sebesar batang pokok kelapa, yang kecil, cantik dan comel. Indahnya zaman itu.

Setelah arwah Abah pulang ke Rahmatullah, segala-galanya berubah buat Ibu. Ibulah tunjang keluarga kami. Ibu tempat kami mengadu. Ibulah Ayah, Ibulah Ibu. Ibulah segalnya buat kami. Ibu pernah lalui hidup tanpa ibu sendiri sejak usianya 4 tahun. Mungkin, ... Ibu tak mahu kami rasa apa yang pernah Ibu lalui. Hebatnya kasih sayang seorang Ibu. Aku kagum dengan semangat Ibu.

Indahnya saat Ibu masih aktif. Sebutlah apa saja lauk yang Ibu masak. Tak ingat dunia dibuatnya. Menikmati masakan Ibu lebih bermakna dan teruja dari apa jua perkara yang pernah terjadi dalam hidup aku. Itulah keramat kasih sayang Ibu. Keramat sesedap sayur kobis masak bening Ibu yang tidak akan aku ketemui lagi di dalam dunia ini.

Ketika saat Ibu sudah mula uzur, hari-hari yang cerah, terasa mendung bagi kami. Segala kemewahan dan haruman dunia, tidak bermakna lagi. "Duhai Ibu, Hari-hariku kini berlalu bagaikan bahtera tanpa layar dan kemudi...". Ya Allah, gelap dan sepinya dunia ini tanpa suara Ibu. Tanpa panggilan manja Ibu. Tanpa setiap pandangan kasihnya yang menusuk ke kalbu. Tanpa sentuhannya yang hangat sepanjang hayat.


Kini Ibu sudah tiada. Saat Ibu pergi, aku seolah-olah sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Tapi, gagal juga aku menahan air mata ini dari tumpah sementara aku buat-buat gagah. Ibu pergi juga, dengan segala usaha yang ditakdirkan Allah. Ibu pergi dengan semangat yang tertinggal di dalam hati kami. Ibu pergi dengan segala natijah untuk kami fikir dan amati.

Kini setelah 10 bulan sejak Ibu pergi, aku rasa, duniaku masih kosong. Kadang-kadang, aku masih ternanti-nanti panggilan telefon Ibu. Jika dulu, pagi Sabtu atau Ahad, melodak-lodak dan tak sabar rasanya nak balik ke kampung bertemu Ibu. Pasti ada saja bahan cerita dari Ibu buat kami. Bila pulang ke kampung dan masuk ke bilik Ibu, masih ada bekas kenangan lama yang merobek hati aku. Lantas aku menangis di dalam hati. Kerus roda Ibu terlipat di situ. Tergambar betapa sukarnya dan lemahnya Ibu untuk naik dan turun dari kerusi roda itu. Katil Ibu. Terbayang betapa Ibu terlantar di atas katil itu dengan segala keresahan dan kekusutan berlegar-legar di dalam dirinya dan diri kami. Bantal-bantal Ibu. Gemarnya Ibu tidur bertemankan bantal-bantal mengelilinginya. Al-Quran Ibu terletak kemas di atas almari. Kini sepi hari-hari kami tanpa suara Ibu mengaji Quran. Terngiang-ngiang di telinga ini...

Kali terakhir aku kucup dahi Ibu, Ibu sudah pegun di sisi kami. Berkapan putih. Kemudian ku cium tangan Ibu walaupun beralas kain. Masih tergambar anak mata ibu terlalu kecil dan linangan air mata Ibu, kali terakhir bila aku sebut, "Mak...". Ibu tidak menjawab panggilan itu.


...


Nyatalah semakin aku cuba melupakan kisah silam bersama Ibu, semakin kuat ia bertaut dalam jiwa.

"Akhirnya terbongkar jua rahsia , tangisan dan gurindam kasih sayangmu..."

Wednesday, May 07, 2008

Lama

Hari ini hari Rabu.
Hari Rabu yang ceria buat aku.
Yang setiap hari mempunyai rutin hidup.
Bekerja, makan, dan tidur.

Setiap hari sejak lebih 6 bulan yang lalu, aku berjalan kaki 20 minit di antara jam 7:30 - 8:00 pagi dan 20 minit lagi di antara jam 5:15pm - 5:30pm, semata-mata untuk mencari rezeki. Tidak lupa berdiri di dalam kenderaan aliran ringan selama lebih kurang 20-25 minit, (kadang-kadang 2 jam tapi jarang-jarang, kerap kali 30 minit ke atas)sebelum menempuh jalan, asap, orang, hujan, dan pemandangan cantik sebelum sampai ke tempat kerja.

Untuk sekian kalinya, aku buntu.