“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Monday, April 30, 2007

Permata Ayah Bonda

Mewangi kuntuman bahagia
Di halaman ayah serta bonda
Menatang selaut cahaya
Melerai resah dan gundah di jiwa
Segunung impian dicita

Selangit harapan di damba
Dibelai, dimanja mesra
Kaulah racun, kau penawar
Senyuman dan tangisanmu
Pengubat duka dan lara

Engkau umpama sebutir permata
Diperlubukkan kasih nan bersinar, bercahaya
Hiasi rumahtangga
Engkau harapan seisi keluarga
Panjatan doa dan aimata
Yang pasrah kepada Yang Esa
Kepadamu tercurah
Kasih sayang dan pengorbanan
Agar terus gemilang

Dididik, diasuh tiap masa
Diajarkan ilmu yang berguna
Mengenal Allah dan Rasul
Menyemai, menyubur iman di dada

Dilayur segala kekerasan
Dilentur dengan kelembutan
Dititip seuntai madah
Hidupmu mula dan berakhir
Menyusur fitrah dan sunnah
Bernoktah di penghujungnya

Tiada yang lebih membahagiakan
Melihat dirimu kian membesar, dewasa
Di dalam sejahtera
Usah terpesona pujukan dunia
Yang hanya menyilau pandangan
Memukau dengan keindahannya
Nasihat ayah bonda
Agar engkau lebih bersedia
Untuk menghadapinya

Bersemi kelopak kasih sayang
Di persada cinta yang sejati
Titisan susu ibunda
Menyegarkan, menghapuskan dahaga

Renjisan keringat dari ayahanda
Menyubur pohon kehidupan
Tuaian sebidang tabah
Buatmu doa dan harapan
Jadilah insan yang mulia
Pembela di hari tua

C/O

Waktu bisa merubah segalanya
Dewasalah dalam rahmat dan kasih Ilahi
Redahi pancaroba
Andai langkahmu tersasar kesimpangan
Pulanglah ke laman ayah bonda
Kembali menghuni di tamannya
Bersamalah semula
Menghirup embunan kasih sayang
Sedingin airmata bonda

Engkaulah permata ayah bonda....

Monday, April 23, 2007

Madah .. dan Kerenah

biar buta penglihatan
jangan buta hati dan fikiran
biarpun miskin harta
jangan papa adat dan bahasa

menghelang-helang buana
jangan lupa saudara tetangga
bila hujung dijumpa
jangan pula pangkal yang kau lupa

harumnya bunga rampai
oleh kerna ramuan yang pandai
indahnya sang pelangi
tapi sayang tiada bererti

hidup dalam dunia banyak ceritanya
selagi bernyawa ada saja karenahnya
yang indah hanyalah bahasa
disebut dibaca gurindam serta seloka

namun kenyataan hidup masih tetap sama
tidak kira walau di mana
tepuk dada tanya selera
amalan biasa

harumnya bunga rampai
oleh kerna ramuan yang pandai
indahnya sang pelangi
tapi sayang tiada bererti

ohh penyair atau pujangga
bermadah kelana dunia begitu jua
dahulu mahupun sekarang
tiada berbeza pucuk pangkal hati jua

kalau emas, emas jua
dibuang tetap berharga
kalau besi, besi jua
kan karat akhirnya

dunia banyak ceritanya
selagi bernyawa ada saja karenahnya
yang indah hanyalah bahasa
disebut dibaca gurindam serta seloka

namun kenyataan hidup masih tetap sama
tidak kira walau di mana
tepuk dada tanya selera
amalan biasa

Tuesday, April 10, 2007

"Bacakan Mak Yassin"

Terkedu aku seketika bila mana mendapat panggilan dari abg Mamat semasa aku dan Zuha dalam perjalan pulang ke rumah dari kerja.

"Mi, malam ni sibuk tak?", tanya abg Mamat.

"Tak.", jawab aku ringkas.

"Balik rumah mak. Mak mintak bacakan yassin..."

Aku terdiam. Sedikit berderau.

"..Baca Yassin ramai-ramai.", sambung abg Mamat.

"Buatkan air Yassin".

"Ok ok.", jawab aku ringas dan cepat.

Ada sedikit kelegaan.


...

Jalan di hadapan masih penuh dengan kereta yang berbondong-bondong.

Hujan sedikit dan renyai-renyai menyuramkan petang itu. Bergerak terlalu perlahan.

Bertambah suram. Aku bermain dengan perasaan seketika.

Ya, mak sakit semula.

Baru semalam petang aku bertanya khabar sebentar menerusi Kak Ana.

....

Aku diam. Begitu jua Zuha.

Diam, namun dalam hati masih berkecamuk.

Aku tahu mak menanggung sakit.

Ya Allah,

Ringankanlah beban ibu kami.

Kasihanilah beliau, seperti mana beliau mengasihani kami semasa kami kecil.

Amin.

Hati aku menangis lebat.

Lebih lebat dari hujan di luar sana.

... Tuhan saja yang tahu.

Sunday, April 01, 2007

Mak yg Lemah

Mak tak sihat.
Suara mak perlahan bila aku cakap dengannya di talian.
Mak tak boleh buang air besar. Angin dalam perut tak lepas.
Badan mak jadi lemah sebab makan sedikit pun sudah rasa kenyang.
Sama juga dengan minum air. Sedikit sudah memadai.

Petang itu, mak sendiri mahu di bawa ke pusat perubatan yang pernah mak jejaki 3-4 tahun lalu. Bila mana mak kena tahan kerana tahap kandungan sel tyroid dalam sistem badan mak semakin berkurang.Kesan dulu mak menanggung sakit dada yang mak sendiri sukar gambarkan. Mak saja yang faham dan menanggung seorang diri.

Kali ini, pemeriksaan awal mendapati ada batu karang sebesar buah limau nipis.

Kesan kandungan tyroid yang berkurangan menjadikan sistem perkumuhan mak tidak secekap biasa. Bermakna, najis dan air kencing tidak dapat disalurkan secara normal. Justeru, pengepaman jantung juga terganggu. Terdapat kelompok air di paru-paru mak.
Mak rasa lemah. Cepat mengantuk.

Malam itu juga mak kena tahan di wad. Sejurus baring, mak terpaksa menerima air. Kerana badan mak lemah.
Mak lalui X-ray dan ultrasound.
Perut mak ditekan sana sini. Jantung mak didengar doktor melalui stateskop.

Mak terpaksa duduk atas kereta sorong untuk bergerak.

...

Bila lihat wajah mak yang semakin berkedut, rambutnya yang memutih dan berkurangan, tubuhnya yang lemah, hati aku jadi sayu. Wajah mak menggambarkan kegusaran hatinya. Keperitan yang terpaksa dihadapi.

Sudah lama agaknya aku tak dapat menatap raut gelak tawa mak.

Wajah itulah dulu yang sentiasa menerangi hari-hari sayu kami, memberi kegembiraan dan memujuk di kala hati duka.
Memberi rasa kasih dan sayang yang tak terbatas dan tak ternilai.
Mengajar kami erti kehidupan. Mengajar kami supaya sabar dan ikhlas dan hormat menghormati antara satu sama lain.

4 hari 4 malam mak di pusat perubatan.
Alhamdulillah, anak-anak mak masih ada di sisi untuk sentiasa menemani.
Untunglah mak kerana ada 9 orang anak-anak yg masih boleh diharap.

Batu karang mak hanyalah kesilapan diagnosis doktor. Ia tidak wujud.
Mak semakin pulih selepas mendapat pil tambahan hormon Tyroid.
Mak sudah boleh buang air besar dan kecil.

Suara mak juga kedengaran agak ceria.
Mungkin kehadiran anak-anak dan cucu cicit mak buat sedikit bahagia.

Tuhan,
Syukurlah kerana secebis kebahagian itu mampu membuat mak tersenyum.
Moga-moga mak semakin sembuh.

Amin

Labels: