“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” - Surah Al-Anfaal, ayat 28

Thursday, January 26, 2006

www.barang.com

Dalam masa yang terdekat ini, mungkin aku dah boleh beli sikit-sikit barang untuk bakal orang baru dalam hidup kami. Ada sikit rasa excited sebab sebelum ni tak pernah buat aktiviti ni. Kalau ada pun, beli hadiah untuk anak saudara atau pun cucu [aku seorang atuk :) ]


Aku dapat ni dari http://www.melayu.com/v2/sembang2/mesej.php?thread=2300&page=2
Barang-barang yang aku rasa agak lengkap senarainya.

Antara yang disenaraikan adalah :
1. Baju (lengan panjang & pendek) dan seluar (panjang & pendek) - 4 pasang
2. sarung tangan dan kaki - 4 pasang gak
3. sabun, bedak, syampo, lotion badan - 1 set ajer
4. lampin - 1 dozen ajer
5. diapers - 1 pek
6. tuala - 2 helai
7. topi baby (untuk elakkan ubun2 dia sejuk) - 2 helai
8. barut - 4 helai (minimum) lagi elok yg buat sendiri
9. kelambu baby - 1 jer
10. tisu basah - beli la 2-3 pek (untuk cuci - baby tak tahan air sejuk)- 11. tilam bantal - 1 set (bantal peluk 2, bantal kepala 1 klu boleh beli bantal kepala yg tak ada kekabu ditengah²)
12. botol susu - 2 biji
13. besen mandi - 1 (besen biasa jer pun takpe...)
14. selimut baby - 1 helai
15. minyak baby - minyak telon (supaya tak mudah kembung atau masuk angin)
16. kapas dan cotton bud (untuk bersihkan dia)
17. tisu - satu lori
18. cream utk elak rashes “drapoline
19. bakul pakaian baby
20. bakul @ baldi (nak isi baju kotor baby)
21. bakul sampah
22. plastik alas tilam baby (yg colo merah & biru tu)
23. pemerah susu (utk ibu)

Dan lagi satu, ini pulak check list untuk delivery.
Aku cilok dari Cyber Playground .


Checklist untuk delivery
1. Baju besar, kain batik
2. Underwear (including nursing type)
3. Maternity pad
4. Toiletries
5. Towels (kecik, besar, etc) & tuala muka sekali
6.Magazines, reading material (hilangkan boring)
7. Wipes. tissue
8. Baju baby
9. Lampin baby
10. Camera
11. Air selusuh (secukup rasa lah yer)
12. Selipar (in case wife pakai kasut masa ke hospital)
13. Getah ikat rambut :)
14. Handphone wife & charger
15. Jacket/sweater
16. Socks

Time to go shopping!!

Teruja ke?

Tuesday, January 24, 2006

Dia seorang ayah

Hari ini bukan hari bapa.
Bukan jugak hari jadi bapa aku.
Atau hari jadi bapa mertua aku.

Tiada lagi hari-hari itu dalam hidup aku.
Tiada lagi abah.
Tiada lagi papa.
Keperluan untuk hari-hari itu bagi aku hanya tinggal nama.

Seingat aku, hari itu, hari yang cerah.
Pagi itu, rautnya biasa. Melambai sebelum kami berangkat ke tempat kerja.

Papa,
biasanya dia berada di luar pagar.
Memerhati isterinya, anak-anakku, sama ada ke sekolah atau kerja.
Dia akan melangkah kembali ke dalam rumah.
Sebelum memulakan pencarian rezeki seorang ayah.

Aku ingat lagi.
Ia Selasa.
2 tahun lalu.
Keluarga Zuha terutamanya, teruji dengan pemergian Papa.

Betul kata orang.
Orang yang paling kita sayang,
orang itulah yang cepat sekali pergi.

Seorang ayah
Yang pernah aku,
Zuha dan mereka
panggil Papa
terlalu banyak jasanya.

Aku tak pernah merasa
Aidil fitri bersama Papa.
Hanya teringat suaranya di talian
semasa aku di Hirakata.
Mesra dan hangat.
Menumpang kasih seorang ayah.
Itu adalah kenangan aku.

Walau tiada Abah dan Papa
Aku mengerti apa erti korban buat seorang lelaki
Itulah jerih pahit mereka

Terima kasih Abah
Terima kasih Papa

Al- Fatihah.

Dalam Kenangan
Abah (1939 - 27 Mac 1987)
Papa (29 May 1953 - 13 Januari 2004)

Hujan dan Payung Kertas

Gambar dipetik dari http://dailymalaysia.org.


Jernihnya hujan. Sama ada lebat atau renyai, warnanya sama. Jernih dan bercahaya bila terlekat di mana-mana, daun, ranting, dahan, kayu, kereta, basikal, tiang lampu dan badan manusia. Dingin, tambah lagi dengan deruan bayu. Segar dan cerah.

Banyak sekali gambar-gambar diabadikan, sama ada topiknya selepas atau semasa hujan. Namun, di sebalik hujan itu sebenarnya ada rahsia. Bukan rahsia pohon cemara, tapi....

Rahsia tetap rahsia.

Payung. Aku rindukan payung itu. Payung kertas berwarna coklat bersalut bau varnish. Klasik dan memikat. Mungkin dulu tidak pernah ada elemen nostalgia bila meminjamnya dari abah. Mungkin keabadiannya lain untuk abad ini. Payung itu berada jauh di mata.

Payung kertas yang tak terbalas jasanya

"Oh..payung kubur tu..?", balas Zuha bila aku tanya tentang payung itu.

Gambar dipetik dari http://www2.seasite.niu.edu

Monday, January 23, 2006

Hari-hari

Ada beberapa hari lagi sebelum appointment dengan Dr Norleen, sabtu ni.
Iaitu, masa untuk ambil darah utk pemeriksaan lanjut dan suntikan kancing gigi.
Harap-harap kali ni, dapat kami berjumpa Dr Norleen, setelah 2 bulan tak ketemu, InsyaAllah.

Lebih kurang 150 hari telah berlalu sejak Zuha mula hamil.
Lebih kurang 56% kehamilan, bulan ke-7 nanti pastinya perubahan fizikal mendadak buat Zuha.
Aku juga mesti bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Beberapa hari kebelakangan ni, baby sudah banyak bergerak, terutama sebelah malam bila Zuha sedang relak-relak sambil tengok tv.
Masa untuk main-main dengan dia agaknya. :)

Sunday, January 22, 2006

Kawan

Sabtu, selepas kelas.
Masuk saja dalam kereta, Zuha beritahu, nanti Baby dapat kawan.
opss..!!

Tak sangka sungguh, Ezra telah berisi !!!
Ezra melangsungkan perkahwinan pada 11 Disember yang lalu.
Zuha dapat berita, Ezra sudah hamil 5 minggu!! EDD : September.

Tahniah buat Ezra dan "Adik"

Tuesday, January 17, 2006

"Gerak Khas"

2 Minggu lepas, bila temanakan Zuha masuk bilik doktor untuk dapatkan ubat batuk dan selesema, doktor bertugas, Doktor Wan Elly, bertanya, baby dah banyak bergerak atau tak, semasa itu baru kami yakin untuk menjawab, walaupun masih samar-samar.

Doktor Nor Haliza dalam lawatan sebelum ini juga bertanya. Bila kami diam, dia memecah sunyi, katanya rasa berdenyut-denyut itu tanda baby bergerak. Zuha tersenyum. Memang dah lama dia rasa begitu terutama belah malam.

Kebelakangan ini, Zuha sudah ada rasa lebih jelas dan peka pada pergerakan itu.
Itu suatu perubahan, era perubahan untuk perubahan-perubahan akan datang.
Perubahan pada Zuha secara fizikal dan mental, pada aku, kehidupan kami, mereka dan semua...

Bila teringat kata-kata kawan seopis, G,
"kehidupan kau akan berubah, apatah lagi Zuha..."
"...dan itu semua adalah tentang sebuah komitmen...."
Aku biarkan masa menentukan, tapi jauh di sudut hati, gementar tetap ada.

Monday, January 16, 2006

Baju-baju

Setelah hampir 6 bulan hamil, Zuha semakin tidak selesa dengan baju kurung yang ada.
Bajunya ok, tapi tidak pada kainnya. Tapi tak semuanya bajunya ok. Kalau potongan biasa memang ok, tidak bagi kebaya. Baju kurung biasa agak ok, tapi Zuha cepat rasa tak selesa di bahagian leher. Eh.., leher Zuha dah membesar kot? :)

Jadi, nampaknya Zuha tidak tahan untuk singgah di Mother's Club atau Modern Mum setiap kali kami ke mana-mana mall. Tapi aku ingatkan selalu yang baju-baju mengandung ni bukan boleh dipakai selalu (setiap tahun). Jadi, selain dari mengawal jumlah baju, dapat juga mengawal budget. Jadi boleh lah disalurkan ke persiapan bakal orang baru nanti.

Tapi, bila hitung-hitung, banyak jugak baju yang Zuha dah beli. Aku rasa sudah hampir 10 helai. :) Tak pelah. Harap-harap, sekurang-kurangnya boleh tahan sampai kehamilan ke-2 atau 3, InsyaAllah kalau ada rezeki, Amin...

Thursday, January 12, 2006

Kesenyapan

Hari-hari yang kami lalui terasanya pantas bak air yang deras alirannya.

Tak tersekat langsung. Masa-masa terus berdetik. Masa-masa susah, masa-masa senang.

Sekali sekala terasa juga pahitnya.

Sekali sekala merasa manisnya, lega dan lapang dada. Itulah nikmat Tuhan.


Kehidupan perlu diteruskan.

Zuha terpaksa berkorban dan memahami yang aku sedang memasuki tahap pembelajaran yang

intensif. Aku hampir untuk melupakan Master itu. Tapi jika putus asa hari ini, pastikah aku

cekal di hari esok. Suratan atau kebetulan, itu semua jauh-jauh terbuang di sebalik mimpi

indah.

Kandungan Zuha menghampiri minggu ke-22 Khamis ini.

Emosi perlu tenteram. Keadaan masih terkawal.

Doa kami agar segala-galanya dipermudahkan, InsyaAllah. Amin.

Kuatkanlah hati kami.

Thursday, January 05, 2006

Menanti Sebuah Jawaban (atau Jawapan)

30 Disember 2005 (Jumaat), 6:45 petang

Hujan. Terhegeh-hegeh. Semuanya mengesot-ngesot. Manusia dan kereta.
Basah semuanya. Kecuali yang dipayungi.

"Aku tak bisa luluhkan hatimu ..
.. dan aku tak bisa menyentuh cintamu"

Kami melangkah. Perlahan walau dalam suasana renjis-renjis menyapa di setiap penjuru.
Payung hanya satu. Agak comel buat tiga orang.

Tertanya-tanya juga sama ada yang dinanti akan muncul.

Jelas sekali, kekecewaan terus menawan hati.

Minggu ini juga, tanpa Dr Norleen. Mana dia agaknya.

====================================

Petang itu, penantian sebuah jawapan telah terjawab.
Namun, masih ada yang belum pasti.